BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Menyamar penguat kuasa, MPSJ buat laporan polis

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat laporan polis berhubung tindakan dua lelaki menyamar sebagai penguat kuasa kesihatan agensi itu bagi meminta rasuah.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid berkata kedua-dua individu itu didakwa meminta rasuah RM500 daripada pengusaha makanan untuk mendapatkan penarafan Gred A.

Katanya, kegiatan itu didakwa berlaku di kawasan komersial SS15 baru-baru ini dan MPSJ telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

“Kami mendapati dua lelaki terbabit bukan kakitangan MPSJ malah sijil penarafan Gred A yang digunakan juga palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azfarizal berkata pemeriksaan dan penggredan oleh pegawai kesihatan MPSJ ke atas premis makanan adalah percuma.

Orang ramai yang didatangi dua individu berkenaan diminta tampil memberikan keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.


Pengarang :