AGENDANASIONAL

Mesyuarat APEC bincang kesan Covid-19 pada negara anggota

PUTRAJAYA, 19 FEB: Isu koronavirus 2019 (Covid-19) terutamanya kesan dan risiko penyakit itu akan turut dibincangkan pada mesyuarat-mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan datang.

Pengarah Komunikasi dan Hal Ehwal APEC Michael Chapnick berkata APEC menyedari tentang risiko Covid-19 yang kini memberi kesan kepada lebih 20 negara.

“Kami akan membincangkannya dalam mesyuarat pada minggu-minggu akan datang. Kami juga akan bekerjasama rapat dengan semua 21 negara anggota APEC,” katanya pada taklimat media oleh Pengerusi Jawatankuasa APEC mengenai Bidang Keutamaan APEC bagi tahun 2020 di sini hari ini.

Chapnick ditanya mengenai langkah APEC dalam mengurangkan kesan Covid-19 terutamanya terhadap negara anggota.

Selain Malaysia, China, Jepun, Hong Kong, Singapura, Thailand, Kanada dan Vietnam yang telah mencatatkan sejumlah kes jangkitan Covid-19.

Dilaporkan Covid-19 telah menjangkiti lebih 72,000 orang dan meragut lebih 2,000 nyawa yang kebanyakannya di China.

Malaysia sekali lagi akan menjadi tuan rumah APEC pada November ini selepas menjadi tuan rumah 22 tahun lepas. Seramai 21 pemimpin dan 16,000 perwakilan dari 21 negara anggota dijangka menghadiri APEC 2020.

– BERNAMA


Pengarang :