Seorang pegawai polis berjalan di depan pasar borong makanan Huanan, lokasi Covid-19 dikesan di Wuhan, China pada 24 Januari 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Misi kedua bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan diteruskan

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Misi kedua bagi membawa pulang 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, China, susulan wabak Covid-19 di negara itu tetap akan dilaksanakan meskipun kemelut politik melanda negara.

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pesawat khas AirAsia akan membawa pulang kesemua mereka dan penerbangan dari Wuhan dijangka tiba esok (26 Februari) pukul 6.00 pagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Kementerian Luar dan Nadma dengan kerjasama AirAsia sedang menguruskan butiran mengenai misi kedua berkenaan.

Wan Azizah berkata, sama seperti misi pertama, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua penumpang akan melalui saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk proses pemantauan selama 14 hari.

Misi yang pertama digerakkan kerajaan Malaysia pada 4 Februari lepas berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

– BERNAMA


Pengarang :