AGENDANASIONAL

Mohd Zuki pengerusi mesyuarat khas bersama KSU kementerian

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali mempengerusikan mesyuarat khas bersama kesemua ketua setiausaha kementerian bagi meneruskan perkhidmatan seperti biasa.

Mohd Zuki berkata, mesyuarat itu dilakukan bagi memastikan kelangsungan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan sedia ada untuk rakyat dan negara.

“Mesyuarat khas bersama ketua-ketua setiausaha kementerian bagi meneruskan khidmat seperti biasa untuk kelangsungan perancangan dan pelaksanaan dasar sedia ada untuk rakyat dan negara,” katanya menerusi twitter Mohd Zuki Ali hari ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara, selepas menerima peletakan jawatannya.

Susulan itu, Mohd Zuki dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara bagi menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, dalam tempoh itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Mohd Zuki turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah, atas nasihat Perdana Menteri, turut berkenan membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik semalam.

– BERNAMA


Pengarang :