AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MPOB tinjau kesesuaian MCT berasas minyak sawit tangani koronavirus

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam proses meninjau kesesuaian Medium Chain Triglyceride (MCT) berasaskan minyak sawit sebagai bahan antiviral meningkatkan sistem imun badan bagi melindungi diri daripada Koronavirus 2019.

Ketua pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata memandangkan usaha itu masih pada peringkat awal, lebih banyak kajian perlu dijalankan bagi mengesahkan keberkesanan antiviral tersebut.

“Usaha ini tidak berlaku dalam tempoh semalaman tetapi potensinya ada dan kita perlu menjalankan penyelidikan berterusan bagi tujuan itu.

“Tumpuan utama bukan setakat aspek pasarannya tetapi mencuba sedaya upaya membantu China dan dunia dengan memberi sumbangan termasuk dalam bentuk penyelidikan bagi mengenal pasti kaedah melindungi diri daripada penularan itu,” katanya.

Ahmad Parveez berkata kajian awal menunjukkan MCT berkemungkinan dapat memusnahkan lapisan virus.

Susulan itu, beberapa penyelidik berminat untuk mengenal pasti kesan antiviral dalam MCT dan MPOB akan turut bekerjasama rapat dengan mereka.

Selain itu, MPOB turut menyedari peningkatan permintaan untuk MCT berasaskan sawit itu di China sejak tahun lepas, terutamanya bidang makanan bagi tujuan perubatan khas dan penggantian makanan bertepung.

Beliau berkata, terdapat beberapa pakar China yang bekerjasama dengan MPOB untuk mendapatkan kajian kolaboratif berkaitan kesan tocotrienol sawit ke atas imuniti manusia yang kini dibincangkan secara meluas bagi mencegah penularan koronavirus.

-BERNAMA


Pengarang :