Anggota penguat kuasa MPS menyita barang jualan penjaja yang diletakkan di bahu jalan dalam Operasi Bersepadu di Medan Putri di sini pada 14 Februari. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS sita alatan penjaja di bahu jalan

RAWANG, 16 FEB: Sikap pentingkan diri segelintir penjaja di sekitar Medan Putri, Bandar Tasik Puteri di sini yang meletakkan peralatan di bahu jalan mengundang padah apabila barangan tersebut disita dalam Operasi Bersepadu, kelmarin.

Dalam operasi bermula 8 malam, Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata sebanyak 21 barangan disita membabitkan kerusi, meja lipat dan khemah.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada penjaja bagi memastikan kawasan perniagaan berada dalam keadaan bersih, selain tidak menimbulkan kacau ganggu terhadap masyarakat.

“Tindakan dibuat selaras Seksyen 46(1)d di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (halangan Tred di tempat awam dengan meninggalkan barangan perniagaan),” kata Mohamad Zin Masoad dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap penjaja yang melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Operasi diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS dengan kekuatan 70 anggota serta pegawai Jabatan Pelesenan.

 


Pengarang :