PBTSELANGOR

MPSJ siasat isu video tular libat anggota penguat kuasa

SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menjalankan siasatan dalaman yang adil dan terperinci mengenai insiden anggota penguat kuasanya bersama seorang warga emas yang tular di media sosial, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan tindakan awal diambil adalah tidak membenarkan anggota terbabit dari melaksanakan tugasan di luar.

“Sekiranya orang awam tidak berpuas hati atas sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan, mereka boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada MPSJ atau Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, satu rakanan video tular di media sosial kejadian seorang warga emas tidak berpuas hati kerana kenderaannya ditunda dan beliau dipercayai cuba melepaskannya daripada alat tunda serta memarahi juga memukul petugas MPSJ dengan payung menyebabkan tindakannya dibalas.

Noraini berkata bagaimanapun kesalahan trafik dan memukul pegawai bertugas adalah jelas dan kejadian ketika anggota penguat kuasa sedang menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas di kawasan komersial USJ 9, Subang Jaya.


Pengarang :