AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MTUC cadang KWSP melabur lebih giat di luar negara

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap kerajaan memberi peluang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk lebih giat melabur di luar negara bagi mengimbangi kelembapan ekonomi domestik.

Presidennya Datuk Abdul Halim Mansor berkata tabung persaraan itu mencatatkan pulangan pelaburan luar negara yang amat positif sehingga membolehkannya mengumumkan dividen memuaskan untuk 2019 di sebalik persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Dalam konteks ini, MTUC yakin KWSP akan meneliti dan jika perlu membuat penambahbaikan terhadap proses dan prosedur dalaman meluluskan pelaburan di dalam dan luar negara bagi memaksimumkan pulangan seterusnya memberi dividen lebih baik.

“Pada masa sama, MTUC menggesa kerajaan memastikan dasar negara sentiasa dikaji dan diperbaiki untuk mewujudkan persekitaran yang akan merangsang pelaburan dan meningkatkan produktiviti pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KWSP hari ini mengumumkan dividen 2019 sebanyak 5.45 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus bagi Simpanan Shariah, masing-masing membabitkan agihan RM41.68 bilion dan RM4.14 bilion.

Bagi peringkat domestik, Abdul Halim berkata Indeks FTSE Bursa Malaysia turun enam peratus tahun lalu, menjadikan pasaran saham negara antara yang terendah di rantau ini.

“Perkembangan ini memberi kesan kepada pelaburan KWSP yang menyebabkan dividen 2019 lebih rendah, namun kami yakin KWSP sedia mengambil langkah sewajarnya untuk melihat jika dasar pelaburannya diperkukuhkan bagi menangani cabaran ekonomi mendatang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :