Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kanan) melancarkan perluasan Skim Perlindungan Masyarakat mySalam di Kementerian Kewangan pada 11 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

mySalam: Penerima skim dijangkiti koronavirus layak buat tuntutan

PUTRAJAYA, 11 FEB: Penerima yang layak mendapatkan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional, mySalam yang didapati dijangkiti koronavirus 2019 layak menuntut bayaran gantian hilang pendapatan bernilai RM50 sehari, sehingga 14 hari.

Seorang pegawai Kementerian Kewangan berkata demikian semasa menjawab soalan media sama ada skim itu meliputi mereka yang dijangkiti wabak berkenaan, ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Skim mySalam lanjutan di sini hari ini.

Pegawai itu turut mengatakan sekiranya pesakit dimasukkan ke wad akibat komplikasi koronavirus, mereka malah boleh membuat tuntutan bagi penyakit kritikal yang melibatkan pembayaran “one off” berjumlah RM8,000.

Sementara itu, skim mySalam lanjutan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu meliputi sembilan lagi penyakit kritikal termasuk polio, menjadikan jumlah keseluruhan 45.

Skim lanjutan turut melibatkan peningkatan had umur kepada 65 daripada 55 sebelum ini, penerima Bantuan Sara Hidup bujang dan orang kurang upaya dan kini termasuk kumpulan M40 dengan pendapatan kasar tahunan RM100,000 ke bawah.

-BERNAMA


Pengarang :