Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Najib beritahu derma Arab Saudi bukan Raja Abdullah – Bekas duta

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau hanya mengetahui mengenai derma daripada Arab Saudi melalui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Professor Datuk Syed Omar Al-Saggaf, 76, mengakui bahawa beliau tidak mendengar perkara itu daripada Raja Arab Saudi, Almahrum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud sendiri.

Beliau berkata perkara itu diketahuinya selepas Najib menghadiri satu mesyuarat rasmi pada 11 Januari 2010 di istana Riyadh bersama Raja Abdullah.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram, saksi yang dilantik sebagai duta Malaysia ke Arab Saudi pada September 2008 itu berkata, beliau tidak pasti mengenai jumlah derma yang telah diberikan oleh Raja Abdullah kepada Najib.

Saksi pembelaan keempat itu bersetuju dengan cadangan Sithambaram, bahawa keterangan beliau mengenai isu derma itu hanya berdasarkan ingatannya 10 tahun lalu.

Sithambaram: Anda secara peribadi tidak mendengar apa yang diperkatakan antara mereka (Raja Abdullah dan Najib), apa yang anda katakan dalam kenyataan saksi, anda tidak tahu secara peribadi, sebarang fakta berhubung pilihan raya umum?

Syed Omar: Tidak.

Sithambaram: Kemudiannya baru anda tahu mengenainya?

Syed Omar: Daripada Najib, semasa kami meninggalkan dewan di mana mesyuarat berlangsung.

Terdahulu, ketika membacakan penyataan saksinya, saksi itu berkata di akhir perbincangan rasmi, beliau melihat Raja Abdullah, Najib bersama-sama Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjauhkan diri mereka dari tempat mesyuarat dan berjalan ke tengah dewan mesyuarat dan kelihatan sedang berbincang sesuatu dengan begitu tekun sekali.

“Saya kemudiannya, selepas mesyuarat berakhir sepenuhnya difahamkan bahawa Raja Abdullah ada menawarkan pertolongan dalam bentuk dana yang akan dihantar untuk kegunaan Najib di dalam hal mengendalikan politik beliau untuk pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Sithambaram: Dalam perkara ini ada empat derma berasingan. Pada tahun 2014, sebanyak 50 juta pounds yang dikatakan dijanjikan oleh Raja Abdullah… tapi hanya 10 juta dibayar kepada Najib. Ini bermakna mereka tidak menepati janji?

Syed Omar: Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu.

Sithambaram: Sekiranya satu janji dibuat oleh pemerintah, 50 juta pounds, dan hanya 10 juta pounds diberikan, adakah ia pelik?

Syed Omar: Saya tidak tahu.

Ketika pemeriksaan semula oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata Jamil Khir dan Putera Turki Abdullah Al-Saud berada bersama di tempat itu ketika Najib memberitahu mengenai bantuan derma berkenaan.

Prosiding hari ini berakhir selepas mahkamah diberitahu bahawa Jamil Khir akan dipanggil esok untuk memberi keterangan.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan membabitkan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :