Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat ruang pameran selepas Majlis Pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 21 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

NAP 2020 bukti usaha kerajaan bangunkan ekosistem automotif

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Butiran yang terkandung dalam Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) berbanding dasar sebelum ini membuktikan usaha tegas kerajaan untuk memastikan dasar-dasar yang menyeluruh dilaksanakan untuk membangunkan ekosistem automotif di Malaysia.

Dalam nota hari ini, Wong & Partners berkata pelaksanaan NAP 2020 itu adalah seiring dengan kewujudan bidang teknologi baharu yang memberi kesan kepada landskap mobiliti di seluruh dunia.

“Rangka kerja selama sedekad itu bertujuan menambah baik hala tuju industri automotif Malaysia di peringkat global untuk berada di barisan hadapan mobiliti.

“Ia juga mewujudkan banyak peluang perniagaan kepada industri yang mahu melabur di Malaysia, mengembangkan kedudukan mereka di pasaran Asia Tenggara dan bersaing untuk menerajui sektor automotif di masa hadapan.

NAP 2020 yang dinantikan sejak sekian lama dan ditambah baik daripada NAP 2014, dilancarkan pada 21 Februari lepas untuk meningkatkan industri automotif Malaysia ke tahap daya saing industri yang seterusnya seiring dengan perubahan landskap mobiliti di pasaran global.

NAP 2020 dijangka menyumbang RM104.2 bilion kepada ekonomi Malaysia untuk dekad akan datang dengan objektif untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan, kejuruteraan dan teknologi selain memastikan pembangunan yang mampan dalam industri automotif tempatan.

Di bawah NAP 2020, tiga elemen utama teknologi telah diperkenalkan iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya, Mobiliti sebagai Satu Perkhidmatan dan Revolusi Perindustrian 4.0.

– BERNAMA


Pengarang :