Pengurus Besar Yide, Nur Mohd Razali Abdullah
AGENSISELANGOR

Orang ramai dipelawa sertai pertandingan penulisan khutbah Yide

SHAH ALAM, 7 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mempelawa orang ramai menyertai pertandingan penulisan khutbah bertajuk “Peranan ummah menyantuni anak yatim di negeri Selangor” sebelum 17 Februari ini.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata pertandingan terbuka kepada orang ramai khususnya warga Selangor dengan syarat mengikut rukun khutbah ditetapkan dan mengupas tajuk dengan teliti serta memberi kesan baik kepada masyarakat.

“Tiada had umur buat peserta. Peserta digalak menggunakan dalil al-Quran dan hadis sahih serta mengikut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah semasa menulis,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, pemenang tempat pertama dihadiah wang tunai RM250, tempat kedua RM150 dan tempat ketiga RM100.

“Khutbah terpilih akan dihantar kepada Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor untuk dibacakan di seluruh masjid di negeri ini,” katanya.

Penyertaan perlu dihantar dalam bentuk salinan digital ke alamat email [email protected] sebelum 17 Februari 2020, jam 5 petang.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Eksekutif Kebajikan, Muhammad Zubair Azizan di talian 017-756 9476.


Pengarang :