Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Pakej rangsangan ekonomi, bursa dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini susulan minat belian dalam saham indeks utama yang didorong suntikan positif pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.94 mata kepada 1,498.13 daripada 1,495.19 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.54 mata lebih tinggi pada 1,496.73.

Bagi pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 161 berbanding 153 manakala 138 kaunter tidak berubah, 1,589 kaunter tidak diniagakan dan 70 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 201.55 juta saham bernilai RM65.81 juta.

Penganalisis berkata pakej rangsangan ekonomi itu dijangka dapat menyokong ekonomi tempatan dalam menghadapi kesan Covid-19 dan berperanan sebagai penyelamat kepada sektor domestik yang terjejas berikutan penularan jangkitan itu.

“Pengumuman ini boleh mendorong indeks utama bergerak ke arah paras rintangan segera pada 1,515 manakala paras sokongan adalah 1,480,” katanya.

Pengumuman di Putrajaya pada 4 petang hari ini akan menjadi dasar penting pertama oleh pentadbiran di bawah Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kerajaan pimpinan Pakatan Harapan terbubar pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, susulan ketidakpastian politik tempatan yang berlarutan, dagangan untuk hari berikutnya akan kekal tidak menentu dengan kecenderungan meningkat susulan hasil pertemuan dan temu bual secara peribadi di antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan 220 anggota Parlimen.

“Kami percaya kemelut ini akan berakhir tidak lama lagi, Hanya dua pilihan yang dapat dilihat sekarang, iaitu sama ada pilihan raya mengejut atau pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya.

Bagi prestasi saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM8.36, Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM12.46 dan Public Bank melonjak 16 sen kepada RM17.36.

Sementara itu, IHH turun lapan sen kepada RM5.58 dan Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM5.80.

Antara saham paling untung, F&N melonjak 62 sen kepada RM31.76 manakala United Plantation dan Malaysian Pacific masing-masing menokok 28 sen kepada RM26.68 dan RM11.48.

Saham aktif pula, Advance Synergy dan Eduspec masing-masing turun setengah sen kepada 21.5 sen dan 2.5 sen manakala Avillon menambah setengah sen kepada 16.5 sen.

Bagi prestasi indeks keseluruhan, papan skor mencatatkan prestasi bercampur-campur dengan Indeks FBM Emas naik 16.93 mata kepada 10,686.96 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 18.31 mata kepada 10,482.43 namun FBM Ace turun 23.14 mata kepada 5,656.30.

Indeks FBM Emas Syariah naik 8.85 mata kepada 11,360.02 bagaimanapun FBM 70 susut 14.39 mata kepada 13,406.76.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.21 mata kepada 138.63, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 39.70 mata kepada 14,415.80 manakala Indeks Perladangan kurang 1.45 mata kepada 6,969.86.

– BERNAMA


Pengarang :