Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi gambar dirinya sedang bekerja di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya melalui media sosial Facebook, Twitter dan Instagram pada 25 Februari 2020. Foto: Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pakej rangsangan ekonomi diumum tidak lama lagi – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad telah selesai bertemu dengan pegawai-pegawai tertinggi Kementerian Kewangan berhubung pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pakej ekonomi itu bertujuan merangsang ekonomi Malaysia dan mengurangkan impak daripada penularan Covid-19 dan ketidaktentuan luaran yang lain.

Dalam twitter rasmi beliau, Dr Mahathir berkata inisiatif itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran mengenai pakej rangsangan itu atau tarikh pengumuman, yang pada mulanya dijadualkan esok, 27 Februari 2020.

Pakej rangsangan itu dirangka terutamanya untuk sektor penerbangan, peruncitan dan pelancongan untuk mengurangkan impak daripada jangkitan koronavirus, yang berasal dari Wuhan, China.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengumumkan bahawa wabak itu berkemungkinan boleh menjejaskan antara 0.1 dan 0.2 mata peratusan kadar pertumbuhan global tetapi ini mungkin disusuli dengan pemulihan pada tahap yang lebih pesat.

Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada sebarang perkembangan luaran, berikutan penularan virus itu dijangka akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :