Lim Guan Eng (tengah) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua, kiri) menyentuh skrin simbolik pelancaran Majlis Kolaborasi antara Bank Simpanan Nasional, Kumpulan SME Bank dan Malaysia Digital Economy Corporation di sebuah resort pada 17 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pakej rangsangan kurangkan impak Covid-19 kepada ekonomi

CYBERJAYA, 18 FEB: Pakej rangsangan yang dijadual diumumkan minggu depan akan mengurangkan kesan penularan jangkitan Covid-19 ke atas ekonomi, di samping membantu industri meningkat semula apabila virus itu dapat dikekang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia antara negara terawal melancarkan pakej berkenaan walaupun kesan jangkitan masih belum dapat dipastikan.

“Pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan kerajaan memberi perhatian dan keutamaan kepada cabaran yang timbul susulan jangkitan Covid-19.

“Ini juga menunjukkan kita mengambil langkah segera untuk menyesuaikan dengan keadaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program geran RM500 juta bagi pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana di sini, semalam.

Lim Guan Eng. Foto BERNAMA

Pakej rangsangan ekonomi dijadual diumumkan pada 27 Februari ini.

Guan Eng berpendapat cabaran yang ditimbulkan oleh Covid-19 hanya bersifat sementara dan sekiranya reda pada April, ekonomi dijangka mengukuh semula.

Mengenai langkah yang akan diperkenalkan dalam pakej rangsangan ekonomi itu, beliau berkata ia menjurus kepada sektor utama yang terjejas.

“Tumpuan kita adalah kepada sektor yang terjejas selain memastikan mereka masih beroperasi, berfungsi dan dapat meraih manfaat daripada peningkatan semula serta pada masa sama mengekalkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi kita,” katanya.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata kerajaan hanya akan membantu mengurangkan kesan buruk Covid-19 bukannya membayar balik keseluruhan kerugian memandangkan ia adalah risiko yang perlu dihadapi perniagaan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan bukan sahaja mengadakan banyak libat urus dengan semua industri dan sektor, malah masih mempertimbangkan cadangan dan bantuan yang diperlukan, tertakluk kepada kemampuan fiskal negara.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas Bank Negara Malaysia mengumumkan kadar pertumbuhan Malaysia berada pada 4.3 peratus bagi 2019, beliau berkata pengumuman itu akan dibuat semasa pengumuman pakej rangsangan ekonomi.

Beliau berkata banyak penjelasan perlu diberikan mengenai prestasi KDNK dan kini adalah masa untuk memandang ke hadapan.

Guan Eng turut menolak kemungkinan kemelesetan melanda Malaysia disebabkan penularan jangkitan itu.

“Kadang-kadang kebimbangan adalah lebih teruk daripada jangkitan (Covid-19) itu sendiri. Jadi, kita tidak seharusnya terperangkap dalam kebimbangan tersebut malah perlu menangani cabaran berkenaan berdasarkan fakta daripada terpengaruh dengan berita palsu atau penyebaran khabar angin.

“Kita perlu terus yakin dengan daya tahan ekonomi kita dan sikap kerja kuat rakyat Malaysia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :