Ahli jawatan kuasa SELCAT ketika Sesi Pendengaran Awam “Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis” di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PBT disaran pamer agenda mesyuarat bulanan lebih awal

SHAH ALAM, 20 FEB: Ketelusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dipertingkatkan dengan memaparkan agenda mesyuarat bulanan lebih awal seperti dipraktikkan di Australia, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing.

R Rajiv berkata langkah itu membolehkan semua pihak seperti ADN atau badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan pandangan bagi memastikan keputusan lebih baik dibuat.

“Saya ucapkan tahniah kepada Selangor kerana menjadi negeri pertama mewajibkan siaran langsung untuk mesyuarat penuh PBT.

“Cadangan agenda mesyuarat bulanan dipamerkan lebih awal seperti tiga hari memberi ruang kepada pihak mempunyai input mengemukakannya kepada ahli majlis. Ini boleh meningkatkan penglibatan rakyat sebagai pembuat keputusan,” katanya sebagai saksi Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Rajiv berkata setakat ini beliau tidak mempunyai masalah dengan ahli majlis dan sejak mula menjadi ADN pada 2013 turut memberikan penarafan kepada ahli majlis mengikut prestasi tanpa mengira parti politik walaupun berbeza dengan kriteria ditetapkan di peringkat ahli parlimen.


Pengarang :