Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat ruang pameran selepas Majlis Pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 21 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemain automotif Bumiputera akan dibantu tingkat kemahiran pemasaran

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kerajaan bersedia untuk membantu pemain industri automotif terutamanya usahawan Bumiputera untuk meningkatkan kemahiran pemasaran bagi mempromosikan produk mereka dengan lebih efektif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pemain automotif Bumiputera banyak terlibat terutamanya dalam bahagian pengeluaran tetapi masih jauh ketinggalan dalam bahagian pemasaran.

“Ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan kerana dasar baharu kita adalah tentang kesaksamaan dalam berkongsi kekayaan di negara ini.

“Sudah tentunya ini akan memerlukan wang dan pelaburan dan kita akan melihat bagaimana kita boleh menyokong mereka dalam bidang ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata Bumiputera perlu diberikan latihan dan pendedahan bagi membolehkan mereka belajar semua aspek pemasaran serta kaedah untuk mempromosikan produk mereka.

NAP 2020 akan menggabungkan tiga elemen teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Terdahulu dalam ucapannya Dr Mahathir berkata teknologi kenderaan adalah fokus pembangunan kritikal bagi pengeluar kereta global pada hari ini untuk meningkatkan keselamatan kenderaan serta menjadikan mobiliti lebih pintar dan mesra alam sekitar.

– BERNAMA


Pengarang :