AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pemandu mabuk langgar kereta peronda polis

SHAH ALAM, 16 FEB: Sebuah kereta yang dipercayai dipandu individu mabuk melanggar kereta peronda polis di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata insiden awal pagi berlaku selepas anggotanya menerima laporan kemalangan di lokasi berkenaan, lapor Harian Metro.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta yang berada di tengah jalan dalam keadaan rosak teruk dan tidak boleh bergerak.

“Anggota berpangkat koperal kemudian meletakkan kereta peronda polis dipandunya di belakang kenderaan kemalangan (tengah jalan) dan memasang lampu biru serta lampu kecemasan selain membantu kawalan lalu lintas.

“Bagaimanapun, sebuah kereta Nissan tiba-tiba datang dari arah belakang lalu merempuh kereta peronda polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kemalangan tersebut.

“Pemandu kereta Nissan berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.


Pengarang :