Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembangunan Kampung Baru ambil kira kepentingan orang Melayu – Agong

PUTRAJAYA, 1 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kampung Baru, yang juga merupakan ikon di Kuala Lumpur dibangunkan serta dimajukan seiring dengan pembangunan pesat ibu negara dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu.

Dalam titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati di sini hari ini, Seri Paduka memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan semula Kampung Baru menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka dengan teliti.

Seri Paduka dalam titahnya menyuarakan harapan agar pembangunan semula Kampung Baru dapat direalisasikan dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu memandangkan Kampung Baru merupakan simbol penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Seri Paduka bertitah baginda telah disembah maklum bahawa rancangan pembangunan semula Kampung Baru adalah untuk memperkasakan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.

“Menerusi pembangunan semula ini, hak milik tanah akan kekal kepada orang Melayu. Selain itu warisan seni bina dan budaya Melayu akan terus kekal dan diperkasakan,” titah Seri Paduka.

Pembangunan Kampung Baru dirancang bagi memastikan kawasannya lebih menarik dan teratur. Foto BERNAMA

Dalam titahnya, Seri Paduka menzahirkan rasa amat gembira dan bersyukur melihat usaha dan komitmen kerajaan dalam membangunkan Wilayah Persekutuan.

Titahnya, pelbagai aktiviti dan inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melibatkan penyertaan pelbagai kategori kumpulan sasar khususnya rakyat daripada kumpulan B40, yang bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat.

Antara inisiatif yang dilihat memberikan impak secara terus kepada rakyat adalah perkhidmatan bas percuma Go-KL, pemilikan rumah kepada golongan asnaf serta kemudahan penginapan dengan kadar sewaan yang rendah bagi golongan B40 yang berstatus bujang yang baru berhijrah mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur.

“Beta berharap inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan dapat dinikmati oleh rakyat Wilayah Persekutuan tanpa mengira bangsa mahupun agama,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar pembangunan sukan tidak dilupakan kerana ia merupakan wadah terbaik dalam menyatukan dan menyihatkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

“Beta berharap agar program-program sukan di Wilayah Persekutuan terus diperkasa dan lebih ramai atlet dari Wilayah Persekutuan dapat dilahirkan untuk mengharum negara di persada antarabangsa,” titah Seri Paduka.

Turut hadir pada majlis ituPerdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Seri Paduka turut menitahkan para penerima darjah kebesaran bintang dan pingat Wilayah Persekutuan untuk menjaga maruah, integriti dan nama baik diri bagi mengekalkan kemuliaan dan martabat anugerah yang dikurniakan.

Seramai 188 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :