Selangorkini
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama pada Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemimpin mesti berkebolehan tinggi, elak kewibawaan dicabar – PM

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Seseorang pemimpin perlu menunjukkan kebolehan yang tinggi dalam kepimpinan supaya kewibawaannya sebagai pemimpin tidak mudah dicabar, kata perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah penting untuk seorang pemimpin mempunyai nilai kepimpinan tinggi termasuk berani berdepan cabaran.

“Kalau pemimpin dapat tunjuk jalan, cara yang betul, maka gerak kumpulan lebih berjaya. Ini kita lihat dalam tentera umpamanya, tentera tak berjaya kalau tiada pemimpin yang lebih berwibawa, cekap, pintar daripada pengikutnya.

“Jika pemimpin cekap dan pintar, maka pengikut juga akan dapat hasil daripada kepintaran pemimpin itu,” katanya semasa menyampaikan ucaptama Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir berkata pemimpin juga tidak boleh memikirkan kepentingan sendiri melebihi kepentingan pengikutnya.

Tegasnya, pemimpin yang sentiasa memikirkan masalah pengikutnya akan kekal menjadi pemimpin yang disenangi.

“Kuasa yang diberi perlu digunakan untuk kepentingan kumpulan, bukan kepentingan diri.

“Kalau pemimpin selalu fikirkan masalah pengikut, berfikir corak kejayaan untuk pengikut, pengikut akan jadi puak yang berjaya. Ini yang diutamakan (bagi) yang ingin jadi pemimpin,” katanya.

Dr Mahathir juga mengingatkan, selain perlu selalu mengejar ilmu, pemimpin juga perlu mempunyai nilai hidup yang murni.

Beliau berkata pemimpin yang mengamalkan sifat keji tidak akan disenangi pengikutnya, sekali gus tidak akan kekal menjadi pemimpin.

Beliau menambah, dalam sesuatu masyarakat perlu dipimpin sekurang-kurangnya satu pemimpin.

“Kalau terlalu banyak pemimpin, akan timbul juga masalah kerana mereka akan berlawan antara mereka, dan lupa kepada tugas mereka untuk memimpin. Apabila pemimpin habiskan masa dan tenaga bersaing sesama sendiri maka mereka akan hilang keupayaan memimpin,” katanya.

Menjawab soalan ketika sesi dialog bersama peserta, Dr Mahathir berkata menjadi tanggungjawab rakyat menjatuhkan pemimpin yang membawa dasar yang tidak baik.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada dasar demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat mengekal ataupun menolak pemimpin, bergantung kepada prestasi pemimpin itu.

“…kalau kita dapati dasar baharu yang diperkenal tidak baik, menjadi tanggungjawab kita untuk menukar, untuk menjatuhkan orang yang membawa dasar yang tidak baik,” katanya.

Menjawab soalan sama ada program MLFS akan diteruskan jika berlaku pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Dr Mahathir berkata tiada jaminan dasar yang baik akan diteruskan jika kerajaan bertukar.

“Bila saya buat keputusan untuk letak jawatan pada 2003 saya percaya pada ketika itu, harus rancangan yang berjaya akan diteruskan supaya kejayaan akan berterusan sehingga kita mencapai matlamat wawasan 2020 menjadi negara maju.

“Tetapi saya lihat apabila saya letak jawatan ada pertukaran dari segi pemikiran dan juga dasar dan pertukaran ini disebabkan oleh kepimpinan baharu yang biasanya ingin memperkenalkan caranya sendiri.

“Ini adalah risiko yang kita hadapi kerana kita harus ingat adakalanya dasar yang diadakan itu buruk dan kita menunggu-nunggu untuk mengadakan PRU supaya kita dapat turunkan pemimpin yang buruk ini untuk diganti dengan yang baik,” katanya.

Sementara itu program MFLS Tier 3 2020 bermula 31 Januari sehingga 12 Mac ini disertai 240 peserta.

Program fasa terakhir itu bertujuan melahirkan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara serta berkeupayaan berperanan di peringkat nasional dan global.

– BERNAMA


Pengarang :