AGENSISELANGOR

Pemulihan bekalan air di Ampang capai 95.3 peratus

SHAH ALAM, 9 FEB: Gangguan bekalan air di kawasan terjejas sekitar Ampang ekoran paip pecah di Rumah Pam Hulu Klang mencapai tahap 95.3 peratus setakat jam 7 pagi tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Halem Mat Som berkata bagaimanapun tiga kawasan, Kampung Ampang Campuran, Kampung/Taman Tasek Tambahan dan Taman Sri Bayu Ampang yang berada di penghujung sistem bekalan air masih dalam proses pemulihan sepenuhnya dengan lori tangki terus menyalurkan bantuan.

“Kita memohon kerjasama pelanggan yang mula menerima bekalan di kawasan tersebut menggunakan air secara berhemat kerana penggunaan maksimum ketika ini akan melambatkan lagi proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas.

“Pelanggan digalakkan untuk terus ke Pusat Khidmat Setempat di Aeon Big Ampang, Taman Dagang Permai, Ampang dan Pili Awam Lembah Jaya untuk bantuan atau hubungi talian 15300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor memahami kesukaran dihadapi pelanggan yang terjejas dan kerjasama serta tindakan baik mereka terhadap warga kerja agensi itu yang bertugas amat dihargai.


Pengarang :