Pembantu EXCO Pendidikan dan Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bergambar bersama pelajar pada Majlis Konvokesyen Program Pengajian Bersijil ke-19, di Masjid Negeri, Shah Alam pada 9 Februari 2020. Foto IHSAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pengajian Bersijil Masjid Negeri lahir modal insan berkualiti

SHAH ALAM, 11 FEB: Selangor terus mengutamakan aspek pendidikan termasuk di masjid bagi melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti dan cemerlang, kata pembantu EXCO pendidikan dan agama Islam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni  berkata masjid bukan hanya untuk aktiviti keagamaan, sebaliknya terus dikembangkan melalui program Pengajian Bersijil yang dilaksanakan sebelum ini.

“Program seperti ini membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkasakan Islam dan sambutan setiap tahun daripada semua pihak menggalakkan,” katanya pada Majlis Konvokesyen Program Pengajian Bersijil ke-19 di Masjid Negeri di sini, 9 Februari lalu.

Seramai 820 pelajar program Pengajian Bersijil berjaya menamatkan pengajian antaranya talaqi al-Quran, taranum, bahasa Arab dan syariah serta hafazan.

Mohd Zawawi mengingatkan pelajar supaya memanfaatkan ilmu yang diperolehi kepada diri, keluarga dan masyarakat serta menyokong program itu dengan melihat tradisi keilmuan tidak terbatas kepada usia muda semata-mata.

Program Pengajian Bersijil dikelola Unit Pengajian dan Pendidikan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dimulakan pada 2001 merangkumi peringkat asas, menengah hingga lanjutan.


Pengarang :