Selangorkini
Foto BERNAMA
RENCANA WAWANCARA

Pengguna tidak hargai air

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tidak perlu sampai sehari ! Satu jam sahaja tanpa bekalan air bersih sudah cukup untuk membuatkan pengguna resah kerana rutin kehidupan harian yang terganggu apabila tiada bekalan air atau dicatu.

Ada yang sehinggakan terpaksa mengambil cuti untuk menunggu bekalan air daripada lori tangki, ada yang menumpang di rumah saudara mara yang tidak terjejas atau yang berkemampuan memilih untuk menginap di hotel.

Namun, berapa ramai daripada kita yang meletakkan nilai serta menghargai air ketika bekalan mencukupi? Boleh dikatakan tidak ramai memandangkan pembaziran air masih berleluasa!

Rumusan ini berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu purata penggunaan air rakyat Malaysia adalah 201 liter sehari yang bersamaan dengan 134 botol ( 1.5 liter botol air).

Jumlah tersebut melebihi syor Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 165 liter sehari.

Di Singapura, purata penggunaan air dalam kalangan penduduknya hanya sekitar 151 liter sehari manakala rakyat Thailand pula menggunakan 193 liter sehari.

Sewajarnyalah pengguna di Malaysia perlu dididik untuk mengurangkan penggunaan air seperti sasaran SPAN bagi menurunkan penggunaan air kepada 181 liter sehari pada tahun ini (2020).

HARGA AIR TERLALU MURAH

Untuk memastikan air sampai kepada pengguna, ia perlu melalui proses yang kompleks dengan pelbagai cabaran dan hakikat ini mungkin ramai yang tidak tahu.

Antara perkara yang perlu ditangani ialah kawasan tadahan dan simpanan air semula jadi cabaran di sungai yang merupakan sumber utama bekalan air mentah, loji rawatan air, sistem paip agihan sehinggalah cabaran memenuhi kehendak pengguna.

Timbul persoalan, adakah disebabkan harga air yang murah menyebabkan pengguna kurang mengambil berat kuantiti penggunaan air setiap hari? Ini ada kebenarannya apabila melihat negeri yang mempunyai tarif air yang rendah lebih tinggi penggunaan airnya.

Malaysian Water Industry Guide 2018 menunjukkan penggunaan air paling tinggi adalah di Pulau Pinang iaitu purata setiap penduduk menggunakan 277 liter sehari.

Ini diikuti Perlis, 245 liter, Melaka 228 liter, Perak 227, Selangor dan Negeri Sembilan 222 liter, Kedah 217 liter, Terengganu 204 liter, Johor 200 liter, Pahang 190 liter, Sarawak 165 liter, Wilayah Persekutuan Labuan, 161 liter, Kelantan 141 liter dan Sabah 108 liter.

Kadar tarif air adalah berbeza-beza mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Melalui laman sesawang SPAN, tarif air di Pulau Pinang adalah paling rendah sekali dengan hanya 22 sen setiap meter padu untuk penggunaan kurang 20 meter padu air, penggunaan 20 hingga 40 meter padu adalah 46 sen dan penggunaan melebihi 200 meter padu pula dikenakan caj RM1.30.

Perlis pula mengenakan caj 40 sen bagi 15 meter padu pertama dan untuk penggunaan 40 meter padu ke atas dikenakan RM1.10. Melaka menetapkan tarif dengan harga 60 sen untuk 20 meter padu pertama dan untuk 35 meter padu keatas ditetapkan pada harga RM1.45.

Perak pula menetapkan 30 sen untuk 10 meter padu awal dan 20 meter padu ke atas adalah RM1.03 manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menetapkan harga untuk 20 meter padu pertama 57 sen dan untuk 35 meter padu ke atas ditetapkan RM2.00 . Sementara itu, Negeri Sembilan menetapkan 55 sen untuk 20 meter padu pertama dan untuk 35 meter padu ke atas RM1.40.

KOS AIR TERAWAT

Mengenai air terawat, menurut SPAN kos purata air terawat untuk 1,000 liter adalah RM2.31 namun tarif yang dikenakan kepada isi rumah untuk 1,000 liter hanyalah 52 sen.

Majoriti pengguna menggunakan 20,000 liter dengan bil bulanan RM10.40 sedangkan kos sebenar adalah RM46.20.

Jika dibandingkan dengan Singapura, selain perlu membayar air yang digunakan mereka juga perlu membayar cukai konservasi air.

Bagi 40 meter padu pertama caj yang dikenakan adalah S$1.21 dan 50 peratus cukai konservasi air. Jika melebihi 40 meter padu air caj yang ditetapkan kepada pengguna adalah S$1.52 dan 65 peratus cukai konservasi air.

Harga yang mahal antara sebab penduduk di Singapura cukup menghargai dan berhemah menggunakan air dengan kadar penggunaan hanya 151 liter sehari bagi setiap pengguna.

Mungkin langkah menaikkan tarif air seperti yang dicadangkan kerajaan masa ini boleh menjadi pendekatan yang mampu mengubah sikap pengguna di Malaysia untuk lebih menghargai air.

SIKAP SAMBIL LEWA PENGGUNA

Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WEMAC) T. Saravanan turut bersetuju bahawa kadar harga air yang murah di negara ini menyebabkan pengguna mengambil kesempatan dan bersikap sambil lewa.

Air terawat yang sepatutnya dimanfaatkan untuk keperluan isi rumah digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya seperti membasuh kereta, menyiram tanaman dan kegiatan lain yang menyebabkan pembaziran berlaku.

Beliau memberitahu Bernama, keperluan sumber air terawat dalam kalangan pengguna sentiasa meningkat sedangkan dalam masa yang sama negara menghadapi pelbagai cabaran seperti faktor cuaca panas sejak kebelakangan ini yang menyebabkan sumber air berkurangan.

“Kekurangan air mungkin boleh berlaku lebih kerap dengan perubahan iklim yang berlaku ketika ini.

“Selain itu keselamatan jaminan air untuk masyarakat Malaysia juga semakin terjejas terutama dengan isu pencemaran yang kerap berlaku di sungai yang menjadi sumber utama air negara ” tambahnya.

Menurut beliau, sekiranya keadaan ini berterusan terutama isu pencemaran dan kawasan tadahan yang semakin digondolkan untuk pembangunan, masyarakat perlu bersedia untuk membayar air terawat yang lebih tinggi kerana kos rawatan air yang tercemar sangat tinggi.

Cadangan kenaikan kadar tarif air dengan keadaan semasa hari ini mungkin boleh membantu memperbaiki mutu perkhidmatan bekalan air terawat kepada pengguna.

Namun tegasnya, mesti ada jaminan untuk pengguna mendapat perkhidmatan bekalan yang lebih baik tanpa perlu lagi mengalami gangguan bekalan air termasuk catuan.

JAMINAN AIR KEPADA PENGGUNA

Sementara itu pakar kualiti air, Dr Zaki Zainudin pula berkata negara maju seperti Singapura dan Amerika Syarikat sudah mempunyai undang-undang yang menjamin air yang disalurkan kepada rakyat adalah selamat.

Meskipun Malaysia belum mencapai status negara maju, perlu ada titik permulaan untuk memperbaiki dan menambah baik perkhidmatan bekalan air bersih negara.

Sekiranya tarif air dinaikkan, apa jaminan kualiti bekalan dan perkhidmatan air kepada pengguna?

“Persoalan ini perlu difikirkan. Begitu juga dengan persoalan, adakah kita bersedia untuk mempunyai undang-undang kawalan pencemaran yang lebih holistik dan ketat?

“Kemungkinan nanti akan ada pihak yang menyatakan mereka belum bersedia untuk undang-undang macam ni pula. Adakah ini bermakna pencemaran akan terus dibenarkan berlaku? “soalnya sambil menambah sistem rawatan termaju adalah langkah terbaik untuk merawat air tercemar namun memerlukan kos yang tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :