Datuk Seri Saifuddin Nasution. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengilang setuju tingkat pengeluaran topeng muka

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pengilang penutup mulut dan hidung bersetuju meningkatkan pengeluaran bagi menangani isu kekurangan bekalan di pasaran dalam masa terdekat susulan penularan koronavirus.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata keputusan itu hasil sesi libat urus kementeriannya dengan pihak industri termasuk pengeluar, pengimport, pemborong dan peruncit penutup mulut dan hidung.

“Pemeriksaan dan lawatan ke kilang pengeluar penutup mulut dan hidung juga dilakukan bagi melihat proses pengeluaran dan berbincang dengan mereka untuk meningkatkan pengeluaran,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pihak industri bagi menyelesaikan cabaran dan kekangan yang dihadapi supaya bekalan penutup hidung dan mulut di pasaran mencukupi.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai RM57,400 dan rampasan sebanyak RM4,255.50 sepanjang operasi pemeriksaan bekalan penutup mulut dan hidung dari 25 Januari sehingga semalam.

Katanya, dalam tempoh itu sebanyak 2,103 premis perniagaan dipantau dan 17 kesalahan dikesan dengan 14 kes jualan melebihi harga maksimum manakala tiga kes tidak mempamerkan tanda harga.

“Pegawai penguat kuasa kementerian akan meningkatkan pemantauan di premis perniagaan yang menjual penutup mulut dan hidung sehingga koronavirus dapat dibendung bagi menangani jualan melebihi harga kawalan atau kenaikan tidak munasabah,” kata Saifuddin Nasution.

Penutup mulut dan hidung merupakan barang harga terkawal mengikut Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No.2) 2009.

Pengguna yang terjumpa sebarang insiden penjualan penutup hidung dan mulut melebihi harga kawalan boleh membuat aduan \melalui mana-mana sembilan saluran aduan kementerian itu termasuk WhatsApp di talian 019-2794317.

-BERNAMA


Pengarang :