Pemandangan udara di sekitar kawasan Plaza Tol Jalan Duta di bawah kendalian PLUS. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengurangan kadar tol beri impak positif kepada rakyat

MELAKA, 4 FEB: Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) berkuatkuasa Sabtu lepas memberi impak positif terhadap kos ulang-alik rakyat terutamanya kepada pengguna tegar lebuh itu.

Seorang kerani guaman di Batu Berendam, Nurfasyahida Wahid, 35, berkata diskaun 18 peratus itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi apatah lagi setiap hari, ibu tunggal tiga anak itu perlu berulang alik dari Tangkak, Johor ke Melaka.

“Anak bersekolah di Tangkak dan saya tinggal bersama ibu bapa di sana. Sudah sembilan tahun berulang-alik dan sebelum ini, dari Plaza Tol Tangkak ke Ayer Keroh saya perlu membayar RM3.80 bagi perjalanan sehala, namun kini saya hanya perlu membayar RM3.12 sahaja. Secara purata saya dapat jimat kira-kira RM30 sebulan.

“RM30 itu bolehlah saya gunakan untuk perbelanjaan lain dan ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kewangan pengguna lebuh raya terutama pengguna tegar yang bukan sahaja kena bayar tol, malah bagi perjalanan jauh perlu juga memikirkan kos minyak,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Berkongsi pandangan sama, seorang pembantu tadbir pejabat kerajaan di Ayer Keroh, Noor Azmi Hamdan, 56, menyifatkan penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus itu sebagai tindakan tepat dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada masa ini.

Katanya, pengurangan kadar itu dapat membantunya menjimatkan perbelanjaan tol sekali gus memudahkannya untuk melancong dalam negara terutamanya ke Kuala Lumpur atau ke tempat menarik dalam negara menaiki kenderaan sendiri menggunakan lebuh raya.

“Saya gemar memandu sendiri ke Kuala Lumpur kerana mudah untuk berhenti di mana-mana sahaja dan suatu ketika dahulu, dari Plaza Tol Ayer Keroh ke Sungai Besi saya perlu membayar tol RM15.70 sehala, namun kini saya hanya membayar RM12.87 sahaja. Pergi dan balik saya boleh jimat RM5.66.

“Namun, saya harap kerajaan dapat meningkatkan lagi pengurangan kadar itu agar golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) berpeluang melancong ke tempat menarik di negara ini sekali gus menggalakkan rakyat Malaysia bercuti dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus membuktikan komitmen kerajaan yang sentiasa berusaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau bagaimanapun berharap Kerajaan Persekutuan mengkaji semula harga barangan keperluan harian rakyat memandangkan penurunan kadar tol sudah mengurangkan kos operasi khususnya kos melibatkan logistik.

“Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bukanlah angka kecil bahkan satu jumlah yang agak besar dan pastinya memberi kesan positif yang sangat baik kepada orang ramai. Inilah usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang sentiasa mahu meringankan beban rakyat dan meningkatkan pendapatan seisi rumah,” katanya.

Jutaan rakyat Malaysia mula menikmati kadar tol 18 peratus lebih rendah bermula Sabtu lepas, satu penjimatan yang cukup ketara buat semua pengguna.

Bukan sahaja pengguna lebuh raya, malah penstrukturan semula konsesi PLUS itu juga membolehkan kerajaan membuat penjimatan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058.

Jemaah Menteri bermesyuarat pada 15 Jan lepas memutuskan diskaun kadar tol 18 peratus diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya yang terlibat iaitu Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE).

-BERNAMA


Pengarang :