Seorang wanita memakai topeng muka ketika memilih barang di sebuah kedai di Beijing, China bagi mengelak dijangkiti koronavirus 2019 pada 1 Februari 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Pengurusan pusat beli-belah perlu tingkat pencegahan Covid-19

PUTRAJAYA, 15 FEB: Pengurusan pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan diingatkan supaya meningkatkan langkah pencegahan Covid-19 dengan mengikut saranan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

“Keadaan masih terkawal. Setakat ini tidak ada keperluan untuk menutup mana-mana pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan dan tidak ada permintaan dari KKM untuk pihaknya berbuat demikian.

“Apa yang penting semua pihak termasuk pengurusan pusat membeli-belah dan pengunjung mengamalkan langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh KKM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari di sini hari ini.

Baru-baru ini, KKM mengeluarkan panduan langkah pencegahan Covid-19 di pusat membeli-belah di mana pemilik premis perlu kerap melakukan disinfeksi di eskalator dan susur tangan, troli, tombol pintu dan butang lif.

Pengunjung pusat membeli-belah pula perlu kerap membasuh tangan dengan sabun dan air serta menggunakan cecair pembasmi kuman tangan selain memakai penutup mulut dan hidung.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 21 kes positif Covid-19 dengan 15 kes melibatkan warganegara China dan enam merupakan warganegara Malaysia. Daripada 21 kes positif ini, tujuh individu sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

– BERNAMA


Pengarang :