Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) bertanya kepada Jahiran Isnani, 63, yang sakit kaki dan tekanan darah tinggi sewaktu melawat warga emas itu sempena program Jelajah Kampungku Sihat di Kampung Kabogan pada 22 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penyakit tidak berjangkit: Jalani tapisan kesihatan, elak kematian pramatang

SEMPORNA, 22 FEB: Kementerian Kesihatan menggesa rakyat supaya memanfaatkan klinik kesihatan di seluruh negara untuk menjalani tapisan kesihatan bagi mengelak kematian pramatang, khususnya yang membabitkan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata NCD antara penyebab utama kematian pramatang kerana kebanyakan masyarakat tidak peka mengenai kepentingan tapisan awal kesihatan.

“NCD paling utama penyebab kematian pramatang ialah darah tinggi atau hipertensi, dan jika bersekali dengan kencing manis, memang resepi untuk kematian pramatang secara serangan jantung atau angin ahmar (strok).

“Justeru, saya minta rakyat terutama golongan B40 supaya membuat tapisan kesihatan (di klinik kesihatan). Ia adalah percuma,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Jelajah Kampungku Sihat peringkat Semporna di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dzulkefly berkata kerajaan mahu rakyat mengambil langkah pencegahan bagi mengelak berdepan kos perubatan yang tinggi.

“Kesihatan adalah asas kepada kehidupan yang berkualiti, dan penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab semua.

“Tanggapan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab pihak (petugas) kesihatan, khususnya Kementerian Kesihatan, adalah silap sama sekali,” katanya.

Beliau berkata pembangunan hospital yang canggih, penyediaan kepakaran dan ubat-ubatan akan terus menjadi isu serta tidak mencukupi jika aspek pencegahan tidak diberikan perhatian.

-BERNAMA


Pengarang :