Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perhebat promosi TMM2020 tarik pelancong tempatan

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Pemain industri pelancongan diminta memperhebat promosi bagi menggalakkan lebih ramai pelancong tempatan bercuti di dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata ini kerana pelancong tempatan memainkan peranan penting bagi menjayakan TMM2020 khususnya selepas dunia dilanda penularan Covid-19.

“Sejak penularan Covid-19 yang kini memberi kesan secara global, kita menjangkakan pengurangan pelancong luar yang datang bercuti ke negara ini dan sebab itu pentingnya promosi yang pelbagai dilakukan bagi menarik pelancong tempatan.

“Pemain industri juga boleh mengambil kesempatan daripada pembatalan tempahan pelancong luar dengan menawarkan promosi yang lebih menarik kepada pelancong tempatan,” katanya selepas melancarkan buku kecil ‘Pakej MYexperience Sempena VM2020’ (MYexperience) hari ini.

Mengulas mengenai MYexperience, Mohamaddin berkata inisiatif itu antara yang patut menjadi contoh kepada pemain industri pelancongan untuk terus mempromosi TMM2020 dalam mendepani cabaran pelancong yang berkurangan ekoran Covid-19.

Tegasnya, ini kerana buku MYexperience terbitan MOTAC itu menawarkan 500 pakej merangkumi percutian dan aktiviti pada harga berpatutan, melibatkan kira-kira 109 pengusaha produk pelancongan di seluruh negara.

“Pelancaran buku kecil MYexperience ini tepat pada masanya dan sangat sesuai bagi menggalakkan percutian domestik dalam kalangan penduduk Malaysia. Pakej yang ditawarkan juga selari dengan inisiatif jangka pendek dalam menangani industri pelancongan negara yang terkesan susulan Covid-19 yang ketara di peringkat global,” katanya.

Buku setebal 213 muka surat itu mengandungi direktori lokasi pelancongan dan aktiviti serta pakej harga yang ditawarkan merangkumi 23 segmen termasuk pelancongan sukan, ekologi, perubatan, pendidikan, gastronomi dan gaya hidup.

Buku itu boleh didapati secara percuma di pejabat pelancongan tempatan, selain boleh diperoleh melalui laman sesawang www.malaysia.travel dan vm2020.malaysia.travel.

– BERNAMA


Pengarang :