ADNBERITA UTAMASELANGOR

Perhilitan diminta pantau `kemunculan’ harimau di Batu Arang

RAWANG, 25 FEB: Pihak berkuasa diarah meningkatkan pemantauan di sekitar Jalan Angkasa, Batu Arang susulan dakwaan penemuan seekor harimau belang di sini Khamis lalu, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang.

Chua Wei Kiat berkata penduduk juga diberi amaran agar mengelak daripada menghampiri kawasan hutan itu kerana berkemungkinan ia menjadi habitat haiwan buas itu.

“Kita sudah maklumkan penemuan haiwan ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) termasuk meminta pihak terbabit memantau lokasi berkenaan.

“Saya berharap haiwan liar itu segera ditangkap kerana dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata sebelum ini haiwan seperti monyet dan tapir dilihat keluar dari hutan yang terletak kira-kira 40 meter dari kawasan perumahan.

“Ini kali pertama saya dengar harimau (masuk kawasan penempatan), jadi penduduk diingatkan supaya tidak menyerang atau menangkap (haiwan buas) itu,” katanya.

Dalam kejadian 2.30 pagi, seorang warga emas dilaporkan berdepan saat cemas apabila `bertentang mata’ dipercayai dengan seekor harimau belang berhampiran rumahnya di sini.

Semasa kejadian Ahmad Mohd Yusof, 71, mahu menutup pintu pagar rumahnya. Ahmad telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Tasik Puteri pada 10.14 pagi, 23 Februari berhubung dakwaannya itu.


Pengarang :