AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Perkeso Selangor sasar 64,000 carum Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri

SHAH ALAM, 17 FEB: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyasarkan 64,000 individu yang bekerja sendiri di negeri ini mencarum dalam Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri, kata timbalan pengarahnya.

Mohammad Ramli Ahmad Dahalan berkata pekerja akan menerima manfaat perlindungan perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, pemulihan jasmani dan vokasional serta pendidikan.

“Setakat ini, kita menerima banyak pencarum daripada syarikat milikan tunggal. Lebih banyak pertemuan akan diadakan bersama syarikat e-dagang termasuk persatuan peniaga bagi menarik ramai pencarum.

“Kita juga berurusan di peringkat dewan undangan negeri untuk mendapat galakan dan rangsangan daripada wakil rakyat,” katanya yang menambah skim diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal sejak 1 Januari lalu.

Mereka yang bekerja sendiri boleh mendaftar dan membuat caruman secara dalam talian di http://matrix.perkeso.gov.my atau hadir ke mana-mana cawangan Perkeso untuk maklumat lanjut.

Selain itu, orang ramai dijemput hadir sesi jelajah skim berkenaan di Kuala Selangor yang dijangka berlangsung pada 15 Mac serentak dengan Hari Kerjaya Selangor.

Menerusi skim ini, pencarum boleh memilih untuk membuat pembayaran bulanan serendah RM13.10 hingga RM49.40 atau RM157.20 hingga RM592.80 setahun dengan pendapatan bulanan pilihan yang diinsuranskan pada kadar RM1,050, RM1,550, RM2,950 dan RM3,950.

 


Pengarang :