Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital suntik dinamisme baharu bina ekonomi

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Bidang pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital berperanan besar dalam menyuntik dinamisme baharu ke arah membina ekonomi berpendapatan tinggi, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sektor berkenaan turut mampu mencipta peluang pekerjaan yang lebih luas dan menyediakan taraf hidup yang lebih baik bagi setiap rakyat seterusnya mendepani cabaran era Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

“Seramai 21 pakar industri daripada bidang pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital telah mengutarakan input-input untuk diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan dalam usaha meneroka dan menggembleng potensi ekonomi yang besar dalam ketiga-tiga bidang ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut menegaskan sesi libat urus dengan pakar industri yang merupakan penggerak utama dalam sektor masing-masing adalah amat penting.

Beliau hari ini mempengerusikan sesi libat urus bersama pakar industri tersebut bagi membincangkan dengan mendalam keperluan dan keutamaan yang perlu diberi perhatian dalam penggubalan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang sedang rancak dijalankan.

Menurutnya, usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan pandangan semua pihak diambil kira dan perincian menyeluruh dilaksana dalam menentukan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

RMK-12 yang dijangka dibentangkan pada Ogos 2020 di Dewan Rakyat merupakan fasa pertama bagi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Penyediaan RMK-12 akan berasaskan kepada tiga objektif WKB 2030 iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Sesi libat urus hari ini turut dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi senator Dr Radzi Jidin, Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, pegawai-pegawai kanan kementerian dan pasukan penggubal RMK-12.

– BERNAMA


Pengarang :