AGENDANASIONAL

Pertemuan dapatkan input kesan koronavirus ke atas industri

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan pertemuan dengan persatuan industri utama khususnya pembuatan dan perkhidmatan bagi mendapatkan input selain mengenal pasti sejauh mana penularan jangkitan koronavirus 2019 memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Norazman Ayob berkata pertemuan yang diadakan esok itu juga akan mendapatkan cadangan daripada pihak industri mengenai langkah menangani impak koronavirus bagi jangka pendek dan sederhana.

“Apabila kita mempunyai semua maklumat ini, kita akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), untuk mereka memperkenalkan pakej rangsangan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan perdana MITI dan agensi di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan sebelum ini berkata pihaknya akan melihat impak penularan koronavirus ke atas negara sebelum menentukan jumlah pakej rangsangan ekonomi bagi membantu sektor yang terjejas.

Norazman berkata ketika ini MITI, MoF dan MEA sedang merangka langkah yang boleh diperkenalkan bertujuan membantu pihak industri dalam usaha menangani impak koronavirus terhadap perniagaan mereka.

“Ia bertujuan menangani kos perniagaan atau cuba mengurangkan kos perniagaan manakala yang kedua memperkenalkan langkah yang boleh membantu pihak industri menangani kemungkinan kemerosotan perniagaan atau dari segi kesukaran mendapatkan bahan komponen atau import khususnya dari China,” katanya.

Mengulas pertemuan MoF dengan pihak industri yang diadakan hari ini bagi mendapatkan input kesan penularan koronavirus, Norazman berkata masih terlalu awal untuk menyatakan cadangan yang akan dikemukakan oleh pihak industri.

“Perbincangan yang akan diadakan di antara MoF dengan pihak industri adalah lebih bersifat mendengar untuk mendapatkan pandangan pihak industri,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :