Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan media mengenai isu hutan simpan Kuala Langat Utara di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan SUK Selangor pada 20 Februari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pewartaan keluar tidak ganggu kawasan Orang Asli

SHAH ALAM, 20 FEB: Kawasan Orang Asli seluas 404.7 hektar tidak termasuk dalam proses pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata kawasan membabitkan 1,000 penduduk itu sudah dikeluarkan lebih awal dan dikekalkan termasuk kawasan perkampungan lain di sekitarnya seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Kawasan Orang Asli masih berada dalam kawasan hutan simpan dan tuduhan mengatakan kita nak hapuskan semuanya adalah liar dan tidak tepat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata isu perkuburan suku kaum Temuan yang dibangkitkan sebelum ini akan dinilai semula selepas proses bantahan selesai pada 5 Mac hadapan.

Amirudin sebelum itu menjelaskan Kerajaan Negeri menyenaraikan empat kawasan hutan ganti bagi mengekalkan jumlah 70 hutan simpan di Selangor malah proses pewartaan keluar baharu di peringkat kedua iaitu penyediaan salinan pelan kawasan dan laporan bertulis untuk proses hebahan serta penyiaran notis penyiasatan awam.

Katanya, kawasan baharu itu bakal bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa malah lebih luas sekitar 121.4 hektar berbanding Hutan Simpan Kuala Langat Utara


Pengarang :