AGENSISELANGOR

PKNS nafi Selangor Business Capital dibangun di rizab hutan simpan

SHAH ALAM, 21 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan sebuah portal berita hari ini mengenai pembangunan Selangor Business Capital akan dijalankan di atas rizab Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kata pengurus komunikasi korporatnya.

Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata artikel diterbitkan bertajuk “Kerajaan Selangor mahu bina taman perniagaan mega di rizab hutan” dan “Selangor government wants to bulldoze forest reserve for mega business park” adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Perkara ini mengakibatkan nama baik PKNS tercalar di mana ia telah dibincangkan warga maya di laman sosial.

“Sehubungan dengan itu, PKNS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkaitan pembangunan Selangor Business Capital dan mencabuli hak Orang Asli di kawasan hutan simpan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Selangor Business Capital merupakan sebuah projek daripada Kerajaan Negeri dan akan dibangunkan PKNS di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya di atas tanah seluas 56 hektar serta tidak melibatkan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara.


Pengarang :