Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: PPSMI diputuskan tahun depan

LANGKAWI, 15 FEB: Keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan semula atau sebaliknya akan diputuskan tahun hadapan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, yang memangku jawatan menteri pendidikan berkata kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti perkara itu dan akan menyediakan kertas cadangan yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Katanya, Kabinet seterusnya akan menentukan sama ada PPSMI dilaksanakan semula atau membuat keputusan mengekalkan kaedah pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan.

“Isu PPSMI akan diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet. Saya tidak boleh buat keputusan…ia mesti dibuat oleh Kabinet.

“(Sebelum ini) saya beritahu kepada pegawai, bukan buat pengumuman (kepada umum mengenai memperkenalkan semula PPSMI), tetapi entah macam mana ia tiris dan orang ramai diberitahu bahawa saya telah buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata sebuah jawatankuasa Kabinet dibentuk untuk mengkaji perkara itu memandangkan terdapat tentangan daripada orang ramai terhadap cadangan berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :