AGENDAEKONOMINASIONAL

Pos Malaysia catat perolehan rendah RM1.68 bilion bagi tempoh 9 bulan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Pos Malaysia Bhd mencatatkan perolehan yang rendah sebanyak RM1.68 bilion untuk tempoh sembilan bulan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM1.76 bilion pada tahun sebelumnya.

Kerugian bersih naik kepada RM215.58 juta daripada RM24.64 juta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Syarikat itu telah menukar tempoh berakhirnya tahun kewangan daripada 31 Mac kepada 31 Disember. Sehubungan itu, penyata kewangan tahunan kumpulan itu yang telah diaudit akan meliputi tempoh selama sembilan bulan berakhir 31 Disember 2019.

Syarikat itu berkata perkhidmatan posnya menyaksikan kemerosotan struktur yang berterusan dalam jumlah mel tradisional sebahagian besarnya berikutan penggantian digital.

Sementara itu, segmen kuriernya mencatatkan perolehan yang rendah berikutan jumlah yang rendah daripada pelanggan susulan serangan malware pada Oktober 2019 dan persaingan sengit untuk menawarkan harga lebih rendah untuk mendapat bahagian pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syed Md Najib Syed Md Noor berkata pengumuman baru-baru ini mengenai semakan semula kadar pos akan menyumbang kepada peningkatan kewangan Pos Malaysia untuk menyokong kenaikan kos dalam memenuhi Obligasi Perkhidmatan Universal (USO).

“Pos Malaysia bersedia untuk menerima pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan untuk mengambil lebih banyak kurier dan meningkatkan pengalaman pelanggan; memenuhi pasaran e-dagang yang berkembang pesat.

“Strategi transformasi kami memerlukan pelaburan dalam rantaian nilai perniagaan kami untuk terus menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik untuk kekal berada di hadapan pesaing kami,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :