Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir di Mahkamah Tinggi pada 6 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Projek solar: Mahdzir mengadu ditekan Najib

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ada mengadu kepada beliau mengenai tekanan yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung projek solar hibrid di Sarawak.

Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan itu berkata Mahdzir antara lain mengadu kepada beliau bahawa Najib mengarahkannya (Mahdzir) secara lisan untuk melaksanakan projek solar hibrid dan bekas perdana menteri itu agak kecewa kerana pelaksanaannya seperti dilengah-lengahkan.

Saksi pendakwaan keenam perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek solar tersebut berkata, Mahdzir juga pernah memberitahu beliau untuk sekadar melanjutkan permohonan kelulusan rundingan terus kepada Najib selaku Menteri Kewangan.

“Selain itu, tekanan minit-minit Datuk Seri Najib Razak bertarikh 1 Disember 2015 dan 7 Jun 2016 yang mengarahkan Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk melaksanakan arahan menggantikan projek genset diesel dengan projek solar hibrid,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dengan 7 September 2017.

Madinah, 63, yang memegang jawatan KSU mulai 13 Jun 2013 sehingga bersara pada 2 September 2016 berkata, tanpa minit Najib bertarikh 7 Jun 2016 beliau tidak akan melayan Jepak Holdings yang tidak memberikan pecahan kos dan maklumat mengenai skop kerja terperinci serta perunding bertauliah yang dilantik untuk projek solar itu.

Selain itu, beliau berkata tidak wujud keperluan mendesak di peringkat Kementerian Pendidikan untuk menyegerakan urusan perolehan projek solar hibrid dan projek itu tiada dalam perancangan pembangunan kementerian tersebut selama ini.

“Rancangan pembekalan tenaga elektrik sedia ada dalam Kementerian Pendidikan adalah projek genset diesel dan penyambungan ke talian grid elektrik sahaja,” katanya yang juga bekas Ketua Audit Negara pada perbicaraan yang masuk hari ketujuh.

Saksi itu berkata beliau tidak tahu mengapa Najib mengeluarkan arahan susulan untuk melaksanakan projek solar hibrid yang melibatkan kos begitu tinggi, berskala besar dan berisiko tinggi secara tergesa-gesa tanpa perancangan teliti dan kajian terperinci atau berbincang dengan Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.

Ini kerana, Madinah berkata, daripada pengalaman beliau bekerja di bawah pimpinan Najib beliau mendapati bekas perdana menteri itu merupakan seorang pemimpin berwawasan yang berpandangan jauh, cerdik dan sentiasa berjaga-jaga dengan kos dan keperluan pelaksanaan suatu projek.

“Tindakan yang diambil oleh saya bermula 8 Jun 2016 sehingga 23 Jun 2016 adalah untuk melaksanakan arahan minit dan arahan lisan Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk mengangkat permohonan Jepak kepada Kementerian Kewangan dengan segera seperti yang diarahkan oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Sungguhpun tindakan saya tidak dipengaruhi oleh tindakan Rayyan (Rayyan Radzwill Abdullah iaitu rakan perniagaan Saidi) dan Datuk Rizal Mansor, mereka telah memberikan desakan serta tekanan berterusan kepada saya untuk mengangkat permohonan Jepak ke Kementerian Kewangan dengan segera dalam tempoh masa ini.

“Berdasarkan pengalaman saya, pelaksanaan projek solar hibrid pada skop yang dicadangkan oleh Jepak memerlukan perancangan teliti untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem ini. Sekiranya projek solar hibrid dilaksanakan secara tergesa-gesa, ia akan menghadapi komplikasi ketika pelaksanaan, meningkatkan risiko kegagalan dan atau pembaziran wang serta kerugian,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

– BERNAMA


Pengarang :