Dato’ Seri Amirudin Shari berbual bersama tetamu pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Laman Haris di Eco Grandeur pada 16 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Projek terbengkalai 20 tahun selesai, detik manis semua pihak

KUALA SELANGOR, 16 FEB: Penyelesaian isu projek perumahan Revolusi Hijau II dan III yang berlarutan selama 20 tahun merupakan kenangan manis kepada semua pihak, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata walaupun dicerca dan diserang sehingga bekas Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa membawa peta ke sidang Dewan Negeri, namun isu itu berjaya diselesaikan secara tuntas.

“Pastinya hari ini berikan kenangan manis untuk semua. Detik ini diusahakan dengan jerih perjuangan. Ada pihak yang tidak mahu perkara ini diselesaikan.

“Tetapi dengan usaha dan ikhtiar berterusan, ia berjaya diselesaikan. Saya tidak mahu kata ini usaha saya, tetapi saya akan teruskan usaha baik pimpinan sebelum ini dengan projek rumah Idaman yang menitikberatkan keselesaan rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Laman Haris di Eco Grandeur di sini.

Amirudin berkata penyelesaian projek itu juga membuktikan Kerajaan Negeri bertanggungjawab dan jujur dalam pentadbiran.

“Ini berbeza dan nyata dilihat bagaimana kebertanggungjawaban pimpinan kepada rakyat bukan untuk kepentingan peribadi atau datang pada pilihan raya sahaja,” katanya.


Pengarang :