Model X70 menjadi penyumbang kepada peningkatan jualan Proton pada 2019.
AGENDAEKONOMI

Proton catat 8,506 pendaftaran baharu pada Januari

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Proton mencatatkan sejumlah 8,506 pendaftaran baharu pada Januari lepas, meningkat 20.2 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun lepas, menjadikannya jualan pada Januari paling berjaya dalam tempoh empat tahun.

Pengeluar kereta nasional itu turut menyaksikan pertumbuhan dalam bahagian pasaran, yang meningkat 4.9 peratus kepada 19.5 peratus, berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Walaupun melalui tempoh yang pendek berikutan cuti Tahun Baru Cina, syarikat mencatatkan prestasi yang baik berikutan ia terus kekal pada kedudukan kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proton X70 terus kekal sebagai peneraju segmen dengan jumlah 1,367 unit didaftarkan, manakala Saga terus menjadi pilihan utama mewakili hampir separuh daripada jumlah jualan dengan 3,871 unit telah dijual, iaitu meningkat 72 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Model Persona, Iriz dan Exora turut mencatatkan prestasi yang baik berbanding Januari 2019. Jualan Persona khususnya hampir dua kali ganda dengan 2,109 unit telah diserahkan kepada pelanggan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 84 peratus berbanding tempoh yang sama.

“Pada masa sama, Iriz meningkat hampir lima kali ganda dengan 785 unit telah dijual, mencatatkan peningkatan sebanyak 465 peratus,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :