Penerjun Base Jump tidak ketinggalan mengadakan terjunan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan sambutan Jubli Perak 25 Tahun Putrajaya dari bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Presint 4 pada 2 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Putrajaya Base Jump jadi acara tahunan

PUTRAJAYA, 2 FEB: Putrajaya Base Jump (PBJ) 2020, aksi terjunan ekstrem sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan dijadikan sebagai acara tahunan, kata Menteri Wilayah Persekutuan.

Khalid Abdul Samad berkata, ia susulan sambutan dan penyertaan luar biasa daripada penerjun tempatan dan antarabangsa yang berjaya menarik minat orang ramai untuk datang menyaksikan acara itu, lapor Bernama.

“PBJ 2020 julung kali dianjurkan dengan pembabitan ramai penerjun antarabangsa berbanding sebelum ini yang dibuat dalam skala kecil membabitkan peserta tempatan sahaja.

“Kita akan cuba kekalkan PBJ menjadi satu lagi program ikonik oleh Perbadanan Putrajaya (PPj). Jika dibangunkan secara teratur, PBJ berpotensi menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk mengunjungi Putrajaya,” katanya ketika berucap merasmikan PBJ 2020 di sini hari ini.

PBJ 2020 yang bermula semalam menyaksikan seramai 34 penerjun profesional dari sembilan negara melakukan aksi terjunan dari ketinggian 40 tingkat bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).


Pengarang :