AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

Rakaman audio: Lepas Bukit Aman, Najib dan Rosmah ke SPRM

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan rakaman audio oleh agensi itu pada petang ini.

Sumber SPRM berkata Najib dan Rosmah dipanggil ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini pada jam 2.30 petang selepas selesai memberi keterangan di Bukit Aman pada sebelah pagi.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan berhubung pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang telah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn Bhd.

Rakaman audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

– BERNAMA


Pengarang :