Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (tengah) ketika sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 7 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Rakyat Selangor semakin matang amati politik negara

KUALA SELANGOR, 28 FEB: Rakyat di Selangor disifatkan semakin matang dalam mengamati perkembangan politik negara dengan tidak menimbulkan sebarang provokasi mahupun kekecohan hingga mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata situasi sebegitu harus dipuji kerana ia juga menggambarkan masyarakat masa kini semakin bijak dalam membuat keputusan dan tidak bertindak mengikut emosi.

Sehingga kini, polis Selangor tidak menerima sebarang aduan atau laporan berlakunya kekecohan ekoran perkembangan politik negara dalam tempoh seminggu lepas.

Sungguhpun begitu, polis sentiasa memantau perkembangan politik semasa negara dan meningkatkan kawalan demi menjamin tahap keselamatan awam berada dalam keadaan yang terbaik.

“Pemantauan dan kawalan ini bukan hanya ditingkatkan semasa berlakunya sebarang senario tertentu melibatkan politik negara tetapi dilakukan dalam tugasan setiap hari.

“Malah, kami juga sentiasa menerapkan ilmu pengetahuan kepada seluruh anggota serta pegawai mengenai isu semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.

Pada majlis itu, Noor Azam menyaksikan upacara serah terima tugas antara Superintendan Mohd Asri A. Wahab yang bersara wajib pada 2 Mac ini kepada Superintendan Ramli Kasa.

Ramli, 54, sebelum ini adalah Ketua Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan dan pernah menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

– BERNAMA


Pengarang :