Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Program Temu Rapat Dan Makan Malam Sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 28 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Rangka peluang pekerjaan dari awal – MB

BANGI, 29 FEB: Lambakan universiti awam dan swasta di Selangor merupakan aset bernilai untuk pembentukan generasi baharu supaya dapat mengisi kekosongan dalam sektor pekerjaan seiring dengan kepantasan teknologi terkini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ribuan graduan berjaya dilahirkan setiap tahun tetapi tidak mampu menempatkan diri dalam industri berbanding senario 20 tahun lalu kerana gagal merangka peluang sejak di peringkat universiti.

“Kita telah berbincang bagaimana menjadikan universiti ini sebagai tiang seri. Kita berharap universiti mampu melahirkan lebih daripada apa yang pernah kita keluarkan sebelum ini kerana dunia telah bergerak begitu pantas.

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama selepas Program Temu Rapat Dan Makan Malam Sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 28 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“…ia mengingatkan saya ketika waktu belajar di sekolah menengah apabila Tun Dr Mahathir menyebutkan berkaitan ledakan teknologi maklumat. Jika kita tidak bersedia dengan Multimedia Super Corridor (MSC), Cyberjaya dan sebagainya mungkin kita akan tertinggal pada hari ini serta tidak tahu apakah itu WhatsApp sebaliknya kekal menggunakan sistem pesanan ringkas,” katanya pada Temu Rapat dan Makan Malam sempena Jelajah Maju Bersama Bersama Dato’ Menteri Besar di UKM, semalam.

Beliau berkata pada 2017 terdapat sekitar 100 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta selain universiti peringkat antarabangsa seperti Universiti Nottingham dan Lim Kok Wing di Selangor.

Katanya, pembelajaran dengan hanya menumpukan kepada buku kuliah semata-mata tidak mampu menempatkan graduan memasuki pasaran pekerjaan.

Melihat daripada perkembangan itu Amirudin berkata, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan pinjaman lebih RM480 juta membantu pembiayaan usahawan kecil menerusi Hijrah Selangor serta RM50 juta untuk Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi membolehkan generasi muda mencari pekerjaan.


Pengarang :