AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rangsangan ekonomi 2020 mudahkan aliran tunai

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diperkenalkan hari ini akan membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh Covid-19, kata Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan mencadangkan bagi tempoh enam bulan mulai April hingga September 2020, penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan dibenarkan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan.

Katanya syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bertemakan, ‘Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan’ di Putrajaya.

Pengumuman pakej rangsangan ekonomi tersebut menjadi yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Tindakan kedua dalam agenda memudahkan aliran tunai ialah menyediakan diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15 peratus daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat beli belah, pusat konvensyen dan pameran.

Ketiga, mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan.

Tindakan keempat ialah mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel. Bagaimanapun, inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada Mac hingga Ogos 2020.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75 peratus.

Manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar 4 peratus. Di samping itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan.

“Semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman. BNM akan memantau pelaksanaan dan memastikan pematuhan dalam kalangan institusi kewangan,” kata Dr Mahathir.

Beliau turut menggalakkan pihak industri seperti perhotelan dan pusat beli-belah untuk memainkan peranan dengan menawarkan diskaun dan mengurangkan kadar sewa premis.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan bertindak mengurangkan kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang dan juga akan mengurangkan caj pendaratan dan parkir.

– BERNAMA


Pengarang :