Gambar Hiasan
BERITA UTAMANASIONAL

Rasa ditindas, pekerja disaran lapor Jabatan Tenaga Kerja

PELABUHAN KLANG, 14 FEB: Pekerja yang berasa ditindas, tidak dijaga kebajikan atau menerima gaji tidak setimpal, boleh membuat laporan mengenainya kepada pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab berkata ini kerana menjadi tanggungjawab majikan mewujudkan persekitaran selesa selain menjaga kebajikan warga kerjanya.

Beliau berkata majikan yang gagal menjaga kebajikan pekerja juga boleh dikategorikan sebagai menggaji ‘buruh paksa’.

“Majikan yang menggajikan pekerja asing dan tempatan ini perlu memastikan wujudnya keselesaan kepada golongan itu selepas seharian bekerja.

“Kita juga mahu mengingatkan orang awam menjadi mata dan telinga JTKSM sekiranya mengetahui ada majikan melanggar peraturan pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas operasi khas penguatkuasaan jabatan itu di sebuah kilang perabot di sini, semalam.

Mohd Asri berkata majikan kilang perabot di Telok Gong itu didapati melanggar Garis Panduan Standard Minimum Penyediaan Penginapan Pekerja Asing.

Katanya majikan berkenaan menyedia penginapan dalam persekitaran kotor, daif dan sistem perparitan tidak diselenggara yang berkemungkinan boleh menjejaskan kesihatan pekerja.

“Kita juga mendapati majikan di kilang ini melanggar beberapa elemen Akta Kerja 1955 berkaitan gaji pekerja. Kita akan menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut dan sekiranya didapati bersalah, kertas siasatan terhadap mereka akan dibuka,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :