PBS2020 akan berlangsung dari 27 Februari hingga 8 Mac 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Ia akan dibuka dari 10 pagi hingga 9.30malam (Setiap hari) dan 10 pagi hingga 10.30 malam (Sabtu & Ahad).
AGENSISELANGOR

Rasai interaksi bersama karektor buku di Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 29 FEB: Pengunjung di Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) boleh merasai pengalaman berinteraksi dengan karakter di dalam buku sekaligus memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Pempamer Jendela Informasi Sdn Bhd, Muhammad Afiq Azlan, 25, berkata pesta tahunan itu memberi peluang kepada orang ramai merasai suasana itu melalui teknologi Augmented Reality (AR) atau realiti berperantara di tapak pameran syarikat penerbitannya.

Katanya AR adalah teknologi membolehkan seseorang mengalaminya melalui audio dan video tiga dimensi.

AR adalah sejenis kesan visual dihasilkan oleh telefon bimbit atau komputer apabila objek visual yang ada pada buku atau apa jua bahan bercetak menghasilkan pemandangan sebenar yang kelihatan di paparan skrin.

Hasilnya, pengguna dapat memandang dunia sebenar melalui skrin komputer atau telefon dan mereka mendapati seolah-olah visual tersebut wujud secara realiti.

“Walaupun buku dijual berteknologi tinggi serta diimport dari Australia, tetapi harganya masih mampu dimiliki.

“Sebuah buku berharga serendah RM45 dan kita menawarkan promosi tiga buku berharga RM120,” katanya menambah pembeli boleh memuat turun aplikasi ‘Hippo Magic’ secara percuma di telefon pintar.

Bagi pempamer ALFA and Friends Sdn Bhd, Noor Fazliyana Mohamad Fadzil, 26, berkata pihaknya menawarkan komik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) meliputi 30 isu termasuk perkakas eksperimen untuk kanak-kanak berumur lingkungan empat hingga sembilan tahun

“Kita menyediakan produk khas untuk ibu bapa supaya mereka boleh meluangkan masa mengajar dan mendedahkan anak-anak berkaitan sistem STEM.

“Dalam perkakas eksperimen, kami menyertakan garis panduan lengkap dari awal hingga akhir dan teori yang mudah difahami,” katanya.

Bertemakan “Jom Baca Buku”, acara perasmian PBS2020 dijadual disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari esok.

Sebanyak 140 gerai jualan disediakan dengan penyertaan 100 pempamer pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa, pesta buku itu bertujuan mendidik masyarakat budaya membaca dan mencintai buku.

Antara aktiviti dijalankan adalah seminar etnosains Melayu, seminar pemikiran Islam, bengkel magik rubik dan cabaran hotmath, selain slot khas bersama Persatuan The Lost Food Project.

PBS2020 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dari 10 pagi hingga 9 malam dan dilanjutkan kepada 10.30 malam bagi Sabtu dan Ahad.


Pengarang :