AGENDANASIONAL

Riduan Rahmat dilantik Setiausaha Dewan Rakyat yang baharu

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Riduan Rahmat dilantik Setiausaha Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Roosme Hamzah yang tamat perkhidmatan selepas berakhirnya tempoh kontrak selama setahun dari tarikh bersara wajib pada 22 Februari tahun lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataan berkata pelantikan Riduan berkuat kuasa 22 Februari 2020.

Riduan, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran dan Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara dan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Sains Politik), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun sejak mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir Parlimen Malaysia pada 31 Januari 1989 serta pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Negara sejak 8 September 2014.

Selain itu beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan dan Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas di Parlimen Malaysia.

Mohamad Ariff turut merakamkan penghargaan kepada Roosme atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Setiausaha Dewan Rakyat ke-12 sejak 26 Dis 2007, terutamanya dalam menjayakan agenda reformasi memartabatkan institusi parlimen yang cemerlang.

Setiausaha Dewan Rakyat bertanggungjawab terhadap perjalanan persidangan Dewan Rakyat dan membantu Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam hal berkaitan Dewan ketika bersidang.

-BERNAMA


Pengarang :