AGENDAEKONOMI

Ringgit dijangka diniagakan 4.16-4.22 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Ketika semua pihak menumpukan perhatian kepada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan pada Khamis minggu depan, ringgit dijangka diniagakan di antara 4.16 dengan 4.22 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipengaruhi kelewatan penyambungan semula kerja di China.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari yang bertujuan mengurangkan kesan ekonomi luaran ke atas Malaysia susulan penularan Covid-19.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata sekiranya kebimbangan mengenai Covid-19 terus meningkat minggu depan, ia boleh menyebabkan dolar AS-ringgit mencatatkan semula paras sebelum ini yang kali terakhir direkodkan pada suku ketiga 2019 menerusi pergerakan berterusan pada paras di atas 4.20.

“Bagaimanapun, jika kes Covid-19 stabil, ini boleh mendorong padanan mata wang tersebut diniagakan hampir kepada paras sokongan 4.16,” katanya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berpendapat ringgit mungkin bergerak sekitar 4.18 hingga 4.22 minggu depan, memandangkan kelewatan penyambungan kerja di China disebabkan wabak Covid-19 boleh menjejaskan industri pelancongan dan eksport di Malaysia.

“Barometer masa nyata bagi penyambungan kerja China, termasuk jualan hartanah, kesesakan trafik dan penggunaan arang batu, semuanya di bawah metrik 2018 dan 2019 dengan margin yang ketara.

“Namun yang membimbangkan adalah jika mereka kekal statik sedemikian, menunjukkan enjin perindustrian China terus lewat untuk beroperasi semula,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata kemerosotan ekonomi yang lebih buruk dan tidak dapat dielakkan itu mungkin tidak dijangkakan ramai.

Malah, beliau menjangkakan minggu depan adalah tempoh sukar bagi ringgit, memandangkan unit tempatan boleh menerima dua kali ganda kesan buruk susulan kebimbangan pelancongan dan eksport disebabkan kelewatan penyambungan kerja di China.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.1900/1940 daripada 4.1360/1400 pada Jumaat minggu lepas.

Ringgit dipengaruhi terutama oleh pergerakan mata wang serantau khususnya yuan China dan won Korea Selatan, kerana kebimbangan mengenai impak Covid-19 ke atas pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara tersebut.

Data positif pasaran perumahan AS dan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) yang stabil turut menjejaskan pergerakan ringgit pada Khamis.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan didagangkan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9924/9957 daripada 2.9751/9797 pada Jumaat minggu lepas, dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4110/4178 daripada 5.3904/3973.

Unit tempatan rendah berbanding euro kepada 4.5286/5346 daripada 4.4851/4902 namun meningkat berbanding yen kepada 3.7504/7550 berbanding 3.7665/7705.

-BERNAMA


Pengarang :