Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia mengimbas penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan pemantauan terhadap Covid-19. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Risiko penumpang dijangkiti koronavirus dalam pesawat sangat rendah

SHAH ALAM, 4 FEB: Risiko penumpang yang berada dalam penerbangan sama untuk dijangkiti koronavirus 2019 adalah sangat rendah susulan sistem pengudaraan yang baik dalam pesawat.

Malaysia Airlines Berhad dalam kenyataan memaklumkan udara dalam kabin diagihkan semula selepas disaring melalui udara tapisan partikel keberkesanan tinggi.

“Ini bermakna kebarangkalian untuk penumpang terdedah kepada bakteria dan virus menerusi kitaran udara (dalam pesawat) adalah sangat rendah.

“Malah, disebabkan sistem pengudaraan sangat baik dan berkesan, udara dalam kabin pesawat lebih bersih berbanding bangunan pejabat dan setaraf kualiti di kebanyakan hospital,” katanya.

Pada masa sama, syarikat penerbangan itu menasihatkan orang ramai supaya menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan, selain mematuhi etika ketika bersin atau batuk di khalayak umum.

Koronavirus yang dikesan tercetus dan menular di Wuhan, wilayah Hubei, China sejak Disember lalu mengorbankan 425 nyawa setakat ini.


Pengarang :