AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM122 juta baiki, ganti lif bangunan dan kuarters polis

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Sejumlah RM122 juta diperuntukkan bagi pembaikan dan penggantian 242 unit lif rosak di bangunan serta kuarters polis, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 201 unit lif kini dalam proses pembaikan oleh kontraktor dilantik manakala baki 41 unit lagi masih dalam proses penyediaan dokumen untuk ditenderkan.

“Bagi memastikan lif sentiasa berada dalam keadaan selamat digunakan, saya meminta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur melantik kontraktor penyelenggaraan yang kompeten.

“Ini penting kerana punca utama dikenal pasti berlakunya kerosakan lif disebabkan ia tidak diselenggara secara berkala mengikut tempoh ditetapkan,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di PULAPOL Kuala Lumpur semalam.

Abdul Hamid juga berkata PULAPOL Kuala Lumpur dan Balai Polis Pantai menerima peruntukan RM7.7 juta khusus untuk pembaikan kuarters.

“Kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan kontraktor dilantik merangkumi pendawaian semula elektrik, pembaikan bumbung, bilik air, sistem bekalan air dan sistem kumbahan.

“Saya ingin menyarankan jawatankuasa perumahan serta penghuni kuarters dapat berganding bahu menjaga kemudahan disediakan serta memantau aktiviti tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Jamil Rakon berkata lebih banyak kuarters dan lif diganti bagi menjaga kebajikan polis.

“Kerajaan akan lihat keperluan dan ia turut bergantung kepada peruntukan disediakan Kementerian Kewangan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :